Sunday, January 24, 2010

Raja yang unik


Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat kelmarin, telah selamat dimakamkan, petang semalam.

Awang menyertai rakyat dan pelbagai pihak merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada waris dan kerabat Almarhum.

Bercakap tentang Sultan Iskandar ketika hayatnya, rumusan pasti sama - seorang raja yang unik.

Baginda akan dikenang sebagai raja berjiwa rakyat dan yang tidak menghiraukan protokol. Pada majlis yang tebal dengan protokol diraja sekalipun, Almarhum kerap melanggarnya kerana sifat baginda yang tidak mementingkan darjat selain tidak suka terlalu formal.

Almarhum terkenal dengan imej ketenteraan selain meminati aktiviti mencabar. Tidak hairan jika baginda boleh mengendalikan helikopter, pesawat, bot laju, luncur layar dan motor berkuasa besar.

Jika tidak berkenan atau murka, Sultan Iskandar tidak berselindung, menjadikan baginda digeruni termasuk di kalangan pemimpin.

Sahabat Awang, Rozaid Abdul Rahman pernah dipanggil ke istana berikutan satu laporan, tidak lama dahulu. Rozaid pergi dengan bimbang tetapi pulang dengan cerita gembira kerana baginda sekadar mahu penjelasan dan kemudian melayannya dengan amat baik.

Awang juga ada pengalaman kecil ditegur ketika membuat satu liputan acara ketenteraan kerana permukaan kasut yang dipakai kurang berkilat. Menteri dan beberapa pegawai awam lagi turut terkejut kerana ditegur. Mesejnya untuk hadir pada acara seperti itu, kasut mesti agak kilat walaupun tidak sekilat yang dipakai oleh anggota tentera perbarisan.

Di sebalik ketegasan dan tingkah laku baginda pada majlis awam yang sukar diduga, Almarhum adalah seorang yang ceria, baik hati dan suka bergurau.

Sesungguhnya untuk menilai baginda bukan setakat kisah-kisah seperti itu sahaja. Jasa Almarhum yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong cukup besar terutama dalam menjaga kepentingan Islam, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan kemakmuran terutama di Johor.

Baginda juga seorang yang realistik dan responsif kepada suara rakyat. Ini terbukti dalam krisis Perlembagaan (mengehadkan kuasa raja) lebih dua dekad lalu, yang menyaksikan Almarhum akhirnya memilih kepentingan rakyat berbanding kepentingan istana.

Kemangkatan Sultan Iskandar adalah kehilangan besar buat negara. Segala jasa malah keunikan baginda akan abadi dalam ingatan rakyat. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat. Al-fatihah.

No comments: