Saturday, February 6, 2010

Kemurkaan Allah terhadap Nabi Adam


NABI Adam dan isterinya telah melanggar larangan Allah daripada memakan buah khuldi. Allah telah berpesan kepada Nabi Adam bahawa jangan mendekati pokok khuldi itu. Allah juga mengingatkan baginda bahawa iblis itu adalah musuhnya, tetapi baginda masih terpedaya dengan pujukan iblis tersebut.

Dengan perasaan sedih dan penuh penyesalan, Nabi Adam dan isterinya, Hawa meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Nabi Adam berkata bahawa sesungguhnya baginda telah menganiaya dirinya sendiri.

Sekiranya Allah tidak mengampuni dirinya, baginda akan menjadi seorang yang rugi untuk selama-lamanya.

Dengan nada marah, Allah berfirman kepada Nabi Adam dengan mengatakan bahawa Dia telah memberikan tempat untuk Nabi Adam dan isterinya di syurga yang penuh dengan segala bentuk nikmat. Cuma satu yang dilarang iaitu memakan buah khuldi tetapi buah itu ternyata lebih diinginkan oleh Nabi Adam berbanding dengan segala isi lain yang ada di syurga.

Nabi Adam berasa sangat sedih apabila mendengar firman Allah itu. Air mata baginda dan isterinya jatuh berlinangan tanpa henti. Nabi Adam mengatakan bahawa baginda sungguh tidak menyangka iblis sanggup berbohong kepadanya dengan bersumpah atas nama Allah.

Allah memutuskan bahawa Nabi Adam dan isterinya harus meninggalkan syurga. Mereka akan diturunkan ke bumi. Di bumi mereka akan bersusah payah, mencurahkan keringat dan air mata untuk mencari rezeki.

Dengan air mata yang berlinangan, disulami dengan perasaan sedih dan takut, Nabi Adam bersimpuh sambil menundukkan kepala dan meminta ampun, "Tuhanku! Tuhanku! Ampunilah aku! Ampunilah aku!"

Air mata Nabi Adam dan isterinya semakin banyak bercucuran. Kedua-duanya menangis tersedu-sedu sambil menanggung penyesalan yang tidak terkira di atas kesalahan yang dilakukan akibat terpedaya dengan pujukan iblis itu.

RM2,000 sebulan untuk juara qari, qariah


PUTRAJAYA 5 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif berupa wang tunai sebanyak RM2,000 secara tetap setiap bulan dan sepanjang hayat kepada setiap qari dan qariah yang menjadi johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Perdana Menteri berkata, bayaran imbuhan yang selaras dengan konsep pencapaian diutamakan itu akan diberikan mulai Oktober tahun lalu sehingga ke akhir hayat mereka.

Difahamkan, seramai 23 orang masing-masing 14 qariah dan sembilan qari yang masih hidup akan menikmati insentif itu sejak tilawah itu bermula pada 1961.

''Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan seterusnya mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan harian," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada perjumpaan bersama ulama dan umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Najib berkata, sepanjang penganjuran tilawah tersebut, para qari dan qariah Malaysia telah ramai menjadi johan dalam acara berprestij itu.

''Selama ini para qari dan qariah yang menjadi johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa hanya diberi hadiah ketika berlangsungnya majis tersebut.

''Maka adalah amat wajar bagi kerajaan menghargai sumbangan mereka ini yang telah mewakili sekali gus memahat nama Malaysia menjadi juara peringkat antarabangsa," katanya