Sunday, January 24, 2010

Raja yang unik


Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat kelmarin, telah selamat dimakamkan, petang semalam.

Awang menyertai rakyat dan pelbagai pihak merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada waris dan kerabat Almarhum.

Bercakap tentang Sultan Iskandar ketika hayatnya, rumusan pasti sama - seorang raja yang unik.

Baginda akan dikenang sebagai raja berjiwa rakyat dan yang tidak menghiraukan protokol. Pada majlis yang tebal dengan protokol diraja sekalipun, Almarhum kerap melanggarnya kerana sifat baginda yang tidak mementingkan darjat selain tidak suka terlalu formal.

Almarhum terkenal dengan imej ketenteraan selain meminati aktiviti mencabar. Tidak hairan jika baginda boleh mengendalikan helikopter, pesawat, bot laju, luncur layar dan motor berkuasa besar.

Jika tidak berkenan atau murka, Sultan Iskandar tidak berselindung, menjadikan baginda digeruni termasuk di kalangan pemimpin.

Sahabat Awang, Rozaid Abdul Rahman pernah dipanggil ke istana berikutan satu laporan, tidak lama dahulu. Rozaid pergi dengan bimbang tetapi pulang dengan cerita gembira kerana baginda sekadar mahu penjelasan dan kemudian melayannya dengan amat baik.

Awang juga ada pengalaman kecil ditegur ketika membuat satu liputan acara ketenteraan kerana permukaan kasut yang dipakai kurang berkilat. Menteri dan beberapa pegawai awam lagi turut terkejut kerana ditegur. Mesejnya untuk hadir pada acara seperti itu, kasut mesti agak kilat walaupun tidak sekilat yang dipakai oleh anggota tentera perbarisan.

Di sebalik ketegasan dan tingkah laku baginda pada majlis awam yang sukar diduga, Almarhum adalah seorang yang ceria, baik hati dan suka bergurau.

Sesungguhnya untuk menilai baginda bukan setakat kisah-kisah seperti itu sahaja. Jasa Almarhum yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong cukup besar terutama dalam menjaga kepentingan Islam, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan kemakmuran terutama di Johor.

Baginda juga seorang yang realistik dan responsif kepada suara rakyat. Ini terbukti dalam krisis Perlembagaan (mengehadkan kuasa raja) lebih dua dekad lalu, yang menyaksikan Almarhum akhirnya memilih kepentingan rakyat berbanding kepentingan istana.

Kemangkatan Sultan Iskandar adalah kehilangan besar buat negara. Segala jasa malah keunikan baginda akan abadi dalam ingatan rakyat. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat. Al-fatihah.

Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat


Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot menyifatkan Almarhum Sultan Iskandar merupakan seorang insan yang cukup istimewa kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan atau Raja di negara ini yang pernah menyampaikan khutbah di masjid-masjid.

''Semasa sihat baginda akan mengutuskan untuk menunaikan sembahyang Jumaat di masjid utama di daerah-daerah dan atas kesediaan, baginda menzahirkan hasrat untuk menyampaikan khutbah di masjid terbabit.

''Ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat khasnya masyarakat Islam di negeri ini,'' katanya.

Beliau yang pernah menjadi Timbalan Mufti dan Mufti Johor selama 10 tahun berkata, itulah keunikan dan kelebihan yang ada pada baginda.

Nooh berkata, pada dasarnya baginda seorang Sultan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya terutamanya mengenai agama Islam.

Menurutnya, semasa menjadi mufti beliau dikurniakan darjah kebesaran antaranya Pingat Ibrahim Sultan (PIS), Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Setia Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Lama Dalam Perkhidmatan (PLP).

''Sebagai tanda kasih dan sayang saya terhadap baginda, malam tadi saya bersama Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin serta beberapa imam dan pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak tidur hinggalah ke saat pemakaman baginda.

''Kami bersama kerabat diraja Johor hinggalah saat baginda menghembuskan nafas terakhir telah menguruskan upacara pemakaman baginda dengan harapan berjalan lancar. Ini merupakan sumbangan terakhir saya untuk Almarhum yang amat dikasihi,'' katanya.

Nooh berkata, Istana Besar akan mengadakan bacaan tahlil selama tiga hari berturut mulai malam ini, manakala masjid-masjid di daerah-daerah akan mengadakan perkara sama untuk tempoh berkenaan.

''Sama-samalah kita berdoa agar roh baginda ditempatkan bersama roh-roh orang yang soleh dan mendapat keampunan, rahmat daripada Allah SWT," katanya

Negara kehilangan Sultan yang tegas


- Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail merupakan seorang Sultan yang tegas dan berani dalam aspek pentadbiran selain amat dekat dengan rakyat.

Beberapa pemimpin politik yang merafak sembah takziah menyifatkan kemangkatan baginda sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan rakyat jelata.

Pada masa yang sama, mereka melahirkan keyakinan Tuanku Ibrahim Ismail yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan Johor ke lima hari ini mampu meneruskan legasi kepimpinan baginda.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Almarhum merupakan seorang pemerintah yang berhati mulia dan terkenal dengan sikap tegas.

"Kita berharap Tuanku Ibrahim dapat mewarisi apa yang telah Almarhum lakukan dengan meneruskan aktiviti mendekati rakyat melalui aktiviti seperti Kembara Mahkota Johor.

"Melalui program sedemikian, rakyat berpeluang menatap wajah Tuanku dan dapat menyembah salam sekali gus menterjemahkan konsep raja berjiwa rakyat kerana kualiti itu sebenarnya sudah ada dalam diri baginda," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jasa baginda bukan sahaja terpahat dalam lipatan sejarah Johor bahkan turut tercatat di peringkat nasional sewaktu menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mengucapkan takziah di atas pemergian baginda dan mendoakan semoga roh baginda dicucuri rahmat.

"Peranan baginda sewaktu bergelar Yang di-Pertuan Agong pada masa itu juga berjaya membantu meredakan beberapa isu, jasa baginda akan terus dikenang," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, seluruh rakyat berdukacita dengan kemangkatan seorang Sultan yang mempunyai aura dan keistimewaan tersendiri.

"Baginda ada aura khusus, malah apabila disebut Sultan Johor terbit rasa gerun dan ini menunjukkan baginda berjaya memainkan peranan sebagai seorang Sultan dengan berkesan dan rakyat pula akan mengambil berat titah baginda.

"Saya sendiri sering mendengar bagaimana mesranya baginda dengan rakyat dan apabila mereka dipanggil menghadap di istana, baginda dikatakan akan memastikan mereka menjamu selera terlebih dahulu," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, walaupun baginda telah tiada, namun jasa-jasanya kepada negara tetap akan dikenang.

"Bagi pihak UMNO Selangor, saya ucapkan takziah kepada seluruh kaum kerabat baginda, walaupun baginda bersikap tegas ia dilakukan dengan cara tersendiri dan amat mementingkan kebajikan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja dan rakyat Johor.

"Takziah kepada rakyat Johor atas kemangkatan Almarhum. Semoga roh baginda dicucuri rahmat," katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, seluruh rakyat jelata khususnya rakyat Johor kehilangan seorang Sultan yang berani dan amat sangat prihatin kepada nasib rakyat.

"Baginda juga sanggup mengetepikan soal protokol dan itu menggambarkan sikap baginda sebagai seorang Sultan yang mudah didekati rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut merafak sembah takziah ke atas kemangkatan Almarhum.

"Almarhum pergi pada saat umat Islam khususnya berhadapan dengan kemelut dan masalah serangan terhadap agama Islam yang tidak berkesudahan, dan mengharapkan pembelaan seorang raja yang tegas dan berani," katanya.

Sultan Iskandar selamat disemadi



YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah serta Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail mendoakan jenazah Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail ketika menghadiri istiadat penghormatan terakhir bagi rakyat jelata dan orang-orang kenamaan di Istana Besar, semalam.


Jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini pukul 4.10 petang.

Lebih 2,000 orang menghadiri majlis pemakaman itu sebagai tanda penghormatan terakhir mereka kepada Sultan Iskandar.

Jenazah baginda dibawa menggunakan pedati yang ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat Istana dengan diiringi 77 das tembakan meriam.

Turut menaiki pedati mengiringi jenazah Almarhum ialah Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Pedati membawa keranda jenazah Almarhum yang ditutupi dengan bendera diraja berlambang bulan dan bintang berwarna biru diarak dari Istana Besar tiba di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer, pukul 2.45 petang untuk istiadat pemakaman.

Jenazah Almarhum dimasukkan ke liang lahad oleh Raja Muda Johor dan beberapa cucunda baginda yang lain.

Bacaan doa dan talkin dipimpin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot mulai pukul 3.25 petang.

Ketika itu, suasana pilu mula menyelubungi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah apabila kelihatan ramai hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menitiskan air mata tatkala doa dan talkin dibacakan.

Pelbagai pihak turut menyampaikan kalungan bunga sebagai tanda ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Johor yang diletakkan di satu sudut di pekarangan makam berkenaan.

Selesai bacaan doa, Sultanah Zanariah kemudian menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum, diikuti Sultan Ibrahim Ismail yang kemudiannya disusuli Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Sejurus itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum yang disusuli Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Beberapa ahli kerabat yang lain turut menabur bunga dan menyiram air mawar di atas pusara baginda.

Antara yang turut menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum Sultan Iskandar ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Ahli kerabat, pembesar negeri dan orang kenamaan mula meninggalkan Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pukul 4.30 petang.

Sultan Iskandar yang memerintah negeri Johor dari 11 Mei 1981 mangkat pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri.

Tunku Ibrahim dimasyhur



TUNKU Ibrahim Ismail melafazkan Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Johor ke-5 di Istana Besar, Johor Bahru, semalam.


Pemangku Raja Johor, Tunku Ibrahim Ismail, 52, dimashyurkan sebagai Sultan Johor yang kelima hari ini.

Istiadat pemashyuran baginda diadakan di tangga Istana Besar, di sini pukul 1.08 petang.

Watikah pemasyhuran Sultan Ibrahim Ismail dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Abdul Ghani, Sultan Ibrahim telah menandatangani watikah pemashyuran sebagai Sultan Johor di hadapan Jumaah Majlis Diraja Johor dan kaum kerabat Diraja Johor di Bilik Singahsana, Istana Besar, Johor Bahru.

‘‘Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan.

‘‘Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor,” katanya Abdul Ghani.

Pemashyuran itu dilangsungkan sebelum jenazah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar dibawa ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini untuk istiadat pemakaman.

Sebaik sahaja selesai pembacaan watikah itu, Penasihat Majlis Agama Islam, Datuk Nooh Gadut membacakan doa kira-kira pukul 1.12 petang.

Selesai bacaan doa, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dilafazkan oleh rakyat dan para hadirin.

Ia diikuti dengan Majlis Perangkatan jenazah Almarhum Sultan Ibrahim dari Dewan Istana Besar menggunakan sebuah pedati dengan ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat istana menuju ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer.

Pedati yang membawa jenazah Almarhum itu turut dinaiki oleh Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim Ismail bersama kaum kerabat lain berjalan kaki mengiring jenazah ke makam berkenaan sambil diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 77 das, bersamaan dengan usia Almarhum.


MENTERI Besar Johor, Abdul Ghani Othman menyampaikan ucapan Watikah Pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor ke lima di atas pemangkatan Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar di Istana Besar, Johor Bahru, semalam.


Selain itu, kerabat-kerabat diraja dari negeri lain dan tetamu kehormat turut menuju ke Makam Diraja berkenaan.

Hampir kesemua raja dan sultan di negara ini serta kaum kerabat mereka hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing.

Sultan Ibrahim Ismail menggantikan ayahanda baginda yang mangkat semalam pada usia 77 tahun setelah memerintah negeri ini hampir tiga dekad bermula 11 Mei 1981.

Petang semalam baginda dilantik sebagai Pemangku Raja oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Iskandar daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor, di sini bahawa ayahanda baginda tidak dapat melakukan kerja-kerja raja.

Namun, Sultan Iskandar disahkan mangkat pukul 7.15 malam.

Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim Ismail mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970.

Sultan Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975.

Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.

Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim Ismail telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah ‘sayap’ penerbangan.

Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.

Dalam bidang sukan, Sultan Ibrahim Ismail gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi serta sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.